SEHINGGA Oktober 2007, produk sawit di Malaysia telah menjana pendapatan negara sebanyak RM 32.4 bilion. Oleh yang demikian, sudah terang lagikan bersuluh, industri sawit berpotensi besar mendapat pulangan yang lumayan dan peningkatan produktiviti akan lebih menambahkan pendapatan negara.
Dalam usaha bagi meningkatkan industri sawit ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah memperkenalkan Kod Amalan Industri Sawit bagi memastikan pengeluaran hasil sawit meningkat dan berjalan lancar. Kod amalan industri sawit ini merangkumi Amalan Pertanian Baik (GAP), Amalan Pengilangan Baik (GMP), Amalan Penapisan Baik (GRP) serta pengangkutan dan penyimpanan produk sawit. Bagi meningkatkan produktiviti sawit, para petani haruslah mematuhi Amalan Pertanian Baik (GAP) ini.
Baru-baru ini Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyatakan bahawa produktiviti sawit di Malaysia masih lagi rendah iaitu di antara 17 hingga 21 tan sehektar setahun. Walhal, sasaran yang ditetapkan adalah 35 tan buah tandan sawit segar setahun. Perkara ini jelas menunjukkan industri sawit masih lagi jauh ketinggalan dalam mencapai visi 35 tan buah tandan sawit segar sehektar setahun. Justeru, bagi meningkatkan produktiviti sawit di negara ini, para petani seharusnya mengamalkan Amalan Pertanian Baik (GAP) ini yang terdiri daripada pengurusan air dan saliran, amalan pembakaran sifar, penyediaan tanah, kepadatan tanaman, bahan tanaman bermutu, kawalan penyakit dan perosak serta amalan pembajaan seimbang bagi pengeluaran hasil yang tinggi.
Amalan Pertanian Baik (GAP) sudah pasti dapat meningkatkan produktiviti sawit. Ini kerana iklim dan keadaan tanah di negara ini sesuai untuk penanaman sawit. Tanah yang sesuai digunakan untuk tanaman sawit adalah jenis laterit. Namun begitu, kawasan tanah gambut juga sesuai untuk penanaman sawit sekiranya ia ditanam secara terancang. Bagi mengekalkan kesuburan tanah, penanam sawit turut digalak mengkompos pelepah sawit. Melalui cara ini, bahan organik tanah akan bertambah dan pokok akan lebih sihat serta mampu mengeluarkan hasil yang lebih banyak.
Pengurusan air dan saliran yang baik juga salah satu elemen dalam amalan pertanian baik. Sistem perparitan yang baik di kebun sawit dapat meningkatkan produktiviti sawit kerana ia membuang air berlebihan dan mewujudkan keadaan yang sesuai untuk pertumbuhan sawit. Kesan air yang berlebihan di kebun sawit akan menjejaskan perkembangan akar dan pengambilan nutrien pokok sawit. Oleh itu, pengaliran dan parit perlu sentiasa diawasi untuk mengelakkan banjir semasa musim hujan.
Kajian MPOB mendapati, seluas lebih 14,000 hektar tanaman sawit di Selatan Perak telah terdedah kepada ancaman ulat bungkus. Masalah ini mengakibatkan penurunan produktiviti sawit.
No comments:
Post a Comment