Saturday, May 17, 2008

Berjimat baik dijadikan amalan -- Jadikan amalan sihat tanam sayur keliling rumah

Berjimat baik dijadikan amalan -- Jadikan amalan sihat tanam sayur keliling rumah

LANGKAH berjimat cermat seharusnya perlu dipupuk sebagai budaya masyarakat negara ini dan bukan seketika sahaja sewaktu negara menghadapi masalah ekonomi.

Demikian saranan lantang yang sering disuarakan oleh Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna (Fomca), Profesor Mohd. Hamdan Adnan dalam setiap bicaranya dengan media massa.

Bagi Hamdan, saranan kerajaan supaya rakyat negara ini mengurangkan perbelanjaan serta menggunakan barangan tempatan bagi membantu menangani kegawatan ekonomi negara seharusnya tidak diambil ringan oleh setiap rakyat termasuk pemimpin negara ini sendiri.

"Rakyat termasuk pemimpin yang prihatin mesti sanggup membantu kerajaan untuk mencapai hasrat itu dan mereka seharusnya sudah mula menjadikan aktiviti menanam sayuran di sekitar rumah sebagai hobi,'' kata Hamdan ketika hobinya dirakam oleh Mingguan Malaysia di kediaman beliau, di Sungai Buluh, Selangor baru-baru ini.

Namun, Hamdan, 49, tokoh kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini mengakui, peralihan budaya daripada budaya hidup mewah kepada jimat cermat bukanlah satu proses mudah.

Katanya, perubahan status menjadikan masyarakat hilang daya kawalan diri sehingga budaya hidup mewah muncul menggantikan budaya hidup sederhana yang menjadi pegangan masyarakat dahulu kala.

"Saya sendiri mengambil masa yang panjang untuk memupuk aktiviti menternak dan menanam sayur-sayuran serta buah-buahan sebagai hobi.

"Pada mulanya saya tidak biasa dengan aktiviti ini tetapi lama-kelamaan, saya senang dengan amalan Buku Hijau ini,'' jelasnya.

Menurut Pensyarah Kanan Kajian Sebaran Am, Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam ini lagi, minatnya itu terus dipupuk selepas beliau mendirikan rumah tangga dengan gadis berbangsa Dusun Kadazan yang berasal dari Kiulu, Sabah, Nuraini Abdullah Jenny Tadong Rumpud pada tahun 1979.

Barangkali kerana faktor ruang lingkup tempat kelahiran isteri tercinta di sebuah desa di 'negeri di bawah bayu', Nuraini menurut Hamdan lebih gemar memakan hasil yang dipelihara dan ditanam sendiri daripada dibeli.

"Isteri saya gemar kepada tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan malah dia rajin memelihara ayam, itik dan angsa.

"Bukan saya sahaja yang terikut-ikut dengan tabiatnya bahkan anak-anak saya juga telah menunjukkan minat yang serupa,'' jelas bapa kepada empat cahaya mata ini, Diana Demiah, 17 tahun, Mohd. Daniel, 8, Dahiyah, 5 dan Dabitah Tatiyana yang berusia 18 bulan.

Kerana itu, tidak hairanlah, setiap inci tanah di kawasan rumah beliau dirimbuni pelbagai jenis sayur-sayuran dan pokok buah-buahan termasuk pokok avocado dan buah tarap, sejenis buah yang cukup popular di Sabah.

Selain sayur-sayuran dan buah-buahan, berpuluh-puluh ekor ayam, itik, angsa, itik serati, ayam mutiara dan ayam belanda turut dipelihara oleh keluarga ini di kawasan kediaman seluas 1 ekar.

Rutin memberi makan ayam atau menyiram tanaman, menurut Hamdan tidak pernah menjadi masalah kepada beliau kerana mereka sekeluarga mengamalkan sikap berkongsi tugas.

"Siapa sempat, dia buat dan tidak pernah lagi setakat ini anak-anak atau isteri merungut dengan tugas memberi makan binatang peliharaan.

"Sebaliknya, bukan sahaja saya bahkan seisi keluarga turut merasakan kalau tidak ada binatang-binatang peliharaan ini hidup kami macam sepi pula,'' katanya yang dikerumuni oleh ayam dan itik yang jinak dengannya sewaktu gambar beliau dirakam.

Ditanya apakah petua yang diamal bagi menyuburkan tanaman, sambil menuding jari ke tanah, Hamdan berkata ; "Tahi ayam dan itik ini yang buat pokok-pokok saya hidup subur,''.

Beliau menjelaskan, itulah yang dikatakan rahmat di sebalik kegawatan ekonomi yang melanda negara saat ini dan beliau sekeluarga memang dari dulu tidak banyak mengeluarkan belanja yang banyak untuk membeli daging ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Selain hobi itu, barangkali ramai yang tidak tahu bahawa tokoh yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Melayu Umum, Ampangan, Negeri Sembilan ini sebelum bertukar ke Sekolah Rendah King George, Seremban ini juga berminat memelihara kucing dan burung tiung.

Burung tiung peliharaannya diajar bercakap oleh isteri dan anak-anaknya, tetapi ada kala, menurut Hamdan, burung berkenaan mengeluarkan perkataan-perkataan yang agak memeranjatkan yang tidak pernah mereka ajar.

Pernah satu hari, cerita Hamdan, anak perempuan sulungnya menerima banyak panggilan telefon dan sewaktu menjawab salah satu panggilan burung tiung itu tiba-tiba bersuara: "Cepat kahwinlah''.

Satu lagi insiden yang melucukan ialah sewaktu kerengga mengerumuni sangkar burung, tiba-tiba burung tiung ini menjerit sekuat hati sambil menyebut perkataan "tolong...tolong,'' katanya tergelak kecil sambil mengintai si tiung dari celah sangkarnya.

Menceritakan rentetan zaman remajanya, Hamdan memberitahu, beliau terpilih untuk memasuki ITM pada tahun 1972 dan memperolehi Diploma Kajian Sebaran Am pada tahun 1975. "Permohonan saya ke ITM telah ditolak sebanyak tujuh kali kerana keputusan peperiksaan MCE saya teruk - saya dapat gred tiga dengan agregat 41.

"Namun, saya tidak pernah berputus asa bahkan saya terus berusaha sehinggalah saya diterima masuk selepas memperolehi sijil perguruan dari Kolej Perguruan Gaya, Kota Kinabalu, Sabah pada tahun 1970,'' ujarnya.

Pada tahun 1976, Hamdan terpilih untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Washington, Amerika Syarikat dan seterusnya memperolehi sarjana dalam bidang komunikasi.

Tahun yang sama juga, beliau memperolehi Sarjana Sains dalam bidang perhubungan awam, dari Universiti Boston, Amerika Syarikat. "Saya diberi tempoh dua tahun untuk menyiapkan Sarjana Komunikasi tetapi saya hanya mengambil masa tidak lebih 8 bulan untuk menyempurnakannya.

"Oleh kerana tidak mahu mensia-siakan peluang yang diperolehi, saya melanjutkan pelajaran di Boston University dan saya bersyukur kerana berupaya membawa pulang dua sarjana sekali gus,'' katanya.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai kerani di Jabatan Pendidikan Seremban pada tahun 1967 berkata, sesungguhnya tidak ada sesiapa di kalangan keluarga dan kawan-kawannya yang percaya dia boleh berjaya seperti hari ini malah berupaya meraih gelaran profesor.

Sampai saat ini, beliau berkata, perkataan yang paling gemar disebut oleh keluarga dan kawan-kawannya ialah "tak sangka Hamdan jadi profesor, ingatkan paling tinggi jadi ketua kerani sahaja...''. 18/01/1998

No comments: