Saturday, May 17, 2008

Tanam sayur dapat sambutan menggalakkan

Tanam sayur dapat sambutan menggalakkan

KEMPEN menggalakkan orang ramai menanam pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan di kawasan sekeliling rumah kini semakin mendapat sambutan menggalakkan, terutama di bandar-bandar.

Ramai yang mula menghabiskan masa lapang masing-masing dengan kegiatan berkebun, termasuk menanam sayur-sayuran dalam pasu yang sebelum ini dipenuhi dengan pokok bunga.

Fakri Mohd Noor, 35, juga tidak ketinggalan menanam sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri, seperti kangkong, sawi, lobak, lada serta ulam-ulaman yang mudah ditanam.

Melalui usahanya itu, persekitaran rumahnya kini tidak lagi dipenuhi pokok-pokok bunga seperti sebelumnya, sebaliknya dihiasi oleh tanaman seperti kunyit, serai, lengkuas dan pokok limau purut.

Beliau memberitahu, apabila hasil tanaman itu berlebihan untuk kegunaan sendiri, kadangkala isterinya membawanya untuk dijual di pasar Kubang Kerian, Kota Bharu yang terletak berhampiran rumahnya.

Beliau yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Seranta Lembaga Tembakau Negara (LTN) berkata, minatnya menanam sayur-sayuran itu didorong oleh pengetahuannya mengenai teknik tanaman berikutan bidang kerjayanya itu.

Fakri menerangkan, sebelum mula menanam sebarang jenis sayur-sayuran, beliau akan memastikan kawasan tanah untuk tanaman itu benar-benar sesuai bagi tujuan tersebut.

Anak-anak benih sayur yang disemai di kawasan itu kemudian diubah ke batas yang mempunyai teduhan yang dibuat daripada plastik.

Sesetengah tanaman ditanam di dalam pasu kerana mudah diubah ke tempat teduh terutama bagi mengelak daripada terlalu terdedah kepada cahaya matahari.

''Tidak banyak masa yang diperlukan untuk menjaga sayur- sayuran tersebut, memadai dengan menyiram pada sebelah pagi dan petang saja,'' ujarnya.

Dengan jadual tanaman secara berperingkat-peringkat, katanya, sayur-sayuran akan dapat dikutip secara berterusan.

Kata Fakri, melalui minat berkebun yang menjadi amalannya itu, beliau dapat berjimat dalam perbelanjaan dapur ketika negara sedang dicengkam kegawatan ekonomi sekarang.

Satu lagi kelebihan menanam sendiri sayur-sayuran, tambahnya, ialah dapat menyemai sikap rajin di kalangan anak-anak serta menggalakkan mereka memakan lebih banyak sayur-sayuran.

Katanya, kemungkinan kerana gemar memakan sayur juga, ketiga- tiga orang anaknya tidak pernah menghidap sakit kulit selama ini. 30/03/1998

No comments: