Saturday, May 17, 2008

Taman herba mula diminati



Kawasan tak jadi masalah kerana banyak pokok herba boleh ditanam dalam pasu

SEJAUH ingatan saya, ladang dan sawah menjadi halaman rumah serta taman permainan. Datuk saya sibuk mengerjakan sawah serta ladang getah sambil ayah mengusahakan ladang tebu. Ibu tekun mengerjakan batas sayur kegemarannya seperti kangkung dan sebagainya.

Sekeliling rumah kami keadaannya berselerak dengan bermacam-macam tumbuhan seperti pandan di belakang dapur, sirih di tepi perigi dan semambu di pinggir pagar. Begitulah ingatan saya mengenai taman di waktu saya kanak-kanak.

Bercakap mengenai perigi pula, ia terletak di bawah pohon petai yang rendang dan tinggi. Setiap pagi saya ditugaskan mengambil air untuk kegunaan harian. Perigi kami dikelilingi pagar kayu dan zink. Sewaktu mandi, saya menceduk air menggunakan baldi tong minyak tanah. Sambil menyiram kepala saya usap muka dan apabila membuka mata, terlihat burung raja udang yang hinggap di dahan pokok petai. Beginilah keadaan dulu, satu anugerah alam semula jadi.


Hidup dalam keluarga yang senang dengan tumbuhan, menjadikan saya akrab dengan alam semula jadi dan memberi kesan yang mendalam di jiwa saya.

Pada zaman kanak-kanak, saya masih teringat bermain bersama rakan-rakan di 'taman permainan' kami yang saya kategori sebagai betul-betul taman permainan. Itu pun di celah-celah tanaman herba yang di tanam nenek. Bermain `tembak-tembak' menggunakan buah terung pipit (tanpa pengetahuan nenek saya). Pohon terung pipit adalah kegemaran nenek saya kerana buahnya sering digunakan untuk membuat sambal tumis ikan betok.

Saya teringat suatu peristiwa di mana salah seorang rakan saya yang kebetulan jatuh terluka dan lebam di tangan serta berdarah hidung. Nenek memetik sehelai daun sirih dari kebun herbanya lalu disalai atas dapur buat seketika kemudian digulung lalu disumbat ke hidung rakan saya.

Selepas itu diambilnya sehelai daun lidah buaya dan diperah lendirnya dan digonyoh di tempat tangan yang lebam. Kata nenek, “Kalau untuk lebam kulit atau lecur air panas di kulit kita pakai (gunakan) lidah buaya, tapi kalau kena gigit serangga kita pakai daun senduduk. Lidah buaya boleh juga dipakai untuk cuci rambut. Saya sahut, “Oooh! Padanlah rambut nenek hitam tak macam Mak Piah sebelah rumah tu, beruban habis!”

Katanya juga, kalau masa zaman sebelum `Panadol' dulu, bila ada budak panas badan, mereka pakai akar pegaga serta akar lalang direbus bersama gula batu. Saya lupa resipi terperincinya tapi yang penting adalah betapa mustahaknya taman herba di zaman dulu. Ia menjadi suatu keperluan, suatu budaya dan suatu gaya hidup.

Ilmu herba dan akar kayu adalah pengetahuan turun temurun. Di zaman sekarang dengan ubatan moden, ilmu ini sudah hampir luput. Dalam mempromosikan pengenalan dan apresiasi tanaman bernilai, lebih ramai sudah mulai menaruh minat dalam bidang penanaman herba. Memang bagus menanam lidah buaya di belakang dapur serta tanaman berasaskan rempah-ratus.

Dalam kawasan laman yang terhad kita boleh menanam herba dalam pasu atau kentong. Tong biskut atau bekas tong minyak masak boleh digunakan. Banyak lagi bekas yang dibuat daripada plastik atau kotak kayu buah-buahan yang cantik boleh dikitar semula sebagai tempat tanaman.

Penting juga dipastikan bekas berkenaan dicat atau dihias dengan seragam supaya kelihatan kemas dan cantik kerana kebanyakan tumbuhan herba menyerupai rumpai biasa. Dikhuatiri jika tidak terurus boleh di salah sangka sebagai rumpai dan dicabut buang oleh tukang kebun.

Tanaman herba pada umumnya boleh dibahagikan kepada empat kategori:

  • Tanaman di mana bahagian (sama ada daun atau akar) digunakan sebagai lumuran atau bahan sapu untuk acara perubatan luaran (aplikasi luaran seperti daun semambu, daun senduduk, pohon jarak atau asam jawa).

  • Tanaman yang menjadi aksesori masakan serta ulam-ulaman, seperti rempah-ratus (daun kunyit, bunga kantan, daun selasih, daun pegaga, daun kari, daun serai, atau daun sup, daun bawang), daun bungkusan untuk kukus (seperti daun kadok), untuk panggang (seperti daun bebuas, daun pandan) untuk bungkusan biasa seperti daun pisang dan sebagainya.

  • Tanaman yang mana bahagiannya digunakan untuk perubatan yang boleh dimakan untuk penyembuhan mahupun sebagai tambahan kesihatan (seperti pokok mengkudu, tongkat ali, kacip fatimah, mas cotek).

  • Tanaman yang mempunyai bau-bauan, terutama yang digunakan dalam penggunaan aromaterapi (seperti serai wangi, daun nilam, vanila).
  • No comments: