Saturday, May 17, 2008

Sekangkang kera masih bernilai


Ubah persepsi kawasan kecil tidak sesuai dijadikan taman

JIKA kita cinta dan hormat pada alam semula jadi, di mana saja kita berada kecantikan dan ketenangan pasti sentiasa bersama kita...Percayalah! Sebaliknya, ada juga di kalangan kita yang masih lagi ada keraguan dan tidak sanggup untuk mengubah laman kecil depan rumah untuk dijadikan sebuah taman.

Sudah menjadi kebiasaan bagi segelintir masyarakat pada hari ini apatah lagi yang sibuk dengan tugas harian, ‘outstation’ sana sini ada kalanya membantutkan kehendak kita bagi membina sebuah taman. Walaupun sekadar sebuah taman yang sederhana. Ada pula yang berpendapat, ruang yang kecil di hadapan rumah yang ada lebih elok saja diturap. Senang saja buat untuk letak kereta, tidak ada pokok dan rumput untuk dijaga.


Hal seperti ini memang sudah menjadi kebiasaan segelintir masyarakat bandar yang tinggal di kawasan perumahan ketika ini. Cara dan gaya hidup yang sememangnya mengutamakan kerjaya membuatkan kita lupa untuk mendekatkan diri kita dengan alam semula jadi secara tidak langsung ia akan menjalin satu ikatan yang positif.

Inilah dilema dan cara hidup kita, sedangkan adalah amat penting untuk kita menjalin hubungan dengan alam. Pada pandangan saya, kita boleh bermula dengan mengubah laman sekangkang kera di hadapan rumah kita terlebih dulu.

Suatu ketika dulu, saya masih ingat lagi rumah di kampung dengan laman yang luas, ada pula pokok buah-buahan. Datuk saya yang cukup suka memelihara haiwan seperti burung dan ayam membuatkan persekitaran seperti wujud satu hubungan antara satu sama lain.

Bagi saya pula bila dikenang-kenangkan kembali masa kecil-kecil dulu, saya hanya jadikan rumah untuk tempat tidur, berlindung daripada hujan dan panas. Ini kerana kebanyakan masa dan aktiviti harian dihabiskan bersama rakan di luar rumah. Padang, kebun sayur, dusun buah-buahan dan sungai menjadi taman permainan dan rumah kedua.

Suasana dan persekitaran seperti ini tidak lagi dapat dirasai kanak-kanak yang tinggal di bandar sekarang. Rumah jenis banglo pun cuma ada tanah lebih kurang tiga meter di sebelah kiri dan kanan rumah saja. Tidak keterlaluan jika saya katakan sebenarnya rumah ini adalah ‘rumah banglo teres’. Apa tidaknya, buka saja tingkap atau pintu sisi rumah terus nampak dinding konkrit rumah jiran yang tersergam ‘indah’.

Dengan hanya memiliki kawasan laman yang kecil sama ada di hadapan atau tepi rumah, ia perlu dimanfaatkan juga. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Apa yang lebih penting, selain kita mencipta ruang taman untuk kecantikan, fungsinya juga perlu diberi perhatian.

Pemilihan dan struktur binaan komponen taman seperti kekisi, pergola dan pondok biasanya janganlah dilihat semata-mata untuk tujuan kecantikan tetapi perlu berfungsi sebagai peneduh di ruang atau sudut yang boleh menjadi tumpuan dalam taman. Tumbuhan dan pokok yang sesuai dan hidup subur pasti juga akan menyegarkan suasana taman.

Sebenarnya, bagi merealisasikan sebuah taman yang selesa, sesuai dengan cara dan gaya hidup keluarga, kita tidak semestinya memerlukan ruang yang besar. Bayangkan bila anda sudah pun memiliki sebuah rumah teres dan dalam masa selang beberapa tahun pula ahli keluarga bertambah, pasti terdetik di hati untuk memiliki taman. Adakah dalam masa terdekat anda perlu memiliki sebuah rumah yang jauh lebih besar lamannya, semata-mata untuk membina sebuah taman? Tidak perlu.

Biarlah kawasan kecil, sekiranya kita mendapat khidmat nasihat daripada pakar perunding landskap, taman bukan saja mampu mengubah ruang laman kecil anda menjadi cantik malah pasti anda tidak sangka ia juga mampu mengubah ruang kecil nampak besar. Lebih penting mampu juga memenuhi keperluan keluarga anda.

Sungguhpun demikian, bagi mencapai matlamat seperti ini kita tidak harus meletakkan diri kita sebagai pak sanggup apabila kita mendapatkan khidmat nasihat. Ini penting kerana, sekiranya kita tidak memberi maklumat dan berkongsi isu dan masalah taman seperti kita inginkan, bimbang pula taman yang hendak dibina menjadi taman yang mengikut ‘trend’ semasa.

Pastikan ada berkomunikasi dan banyak bertanya kepada perunding landskap sebelum merancang untuk memiliki taman yang bakal memberi seribu satu kepuasan dengan pemandangan yang indah untuk anda sekeluarga.

Bagi mereka yang ingin mencipta, membina atau mengubah laman menjadi taman idaman, dapatkan panduan dan rujukan daripada pakar yang benar-benar arif. Bak kata pepatah lama, ‘Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya...

Oleh itu, harapan kami supaya pembaca yang dihormati terutama mereka yang memiliki kediaman dengan ruang laman yang terhad, jangan takut atau gusar untuk membuat perubahan bagi mendapatkan sebuah taman. Percayalah, khidmat nasihat yang betul dan tepat mampu mewujudkan taman yang mampu menjalin ikatan yang lebih bermakna dalam keluarga anda!

Jangan ketinggalan untuk mengikuti kisah selanjutnya yang juga rentetan terakhir dari kami di Terra Garden, satu topik yang cukup menarik mengenai konsep Taman Malaysia . Jadi, jangan lupa dan salam hormat.

Dua tiga kucing berlari,
Berlari-lari di tepi perigi,
Beribu-ribu habis diberi,
Taman tak menjadi rugi sendiri.


No comments: